Friday, October 22, 2010

Suku Dialek Cina



Etnik Cina di Malaysia terdiri daripada beberapa suku dialek. Terdapat enam kumpulan dialek utama: Hakka, Kantonis, Hokkien, Teochew, Hainan dan Hokchiu. Adalah terbukti bahawa orang yang tergolong dalam golongan suku dialek tertentu tertumpu dalam bahagian komuniti berbeza di Malaysia.

Orang Hakka membentuk kumpulan dialek terbesar di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), bahagian-bahagian di Johor terutamanya Kulai, Selangor-Kuala Lumpur dan Pahang. Suku Hakka juga didapati di Johor Bahru dan Perak, di mana mereka mungkin dijadikan suku dialek terbesar di tempat-tempat tersebut.
Suku Kantonis membentuk suku dialek terbesar di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negri Sembilan dan Perak di mana golongan ini membentuk peratusan besar dalam populasi. 
Suku Kantonis juga membentuk suku dialek terbesar di Johor timur dan Sandakan, Sabah. Sandakan pernah bergelar "Hong Kong Kecil" kerana bandar itu pernah dijadikan tempat tinggal kedua bagi kebanyakan pendatang dari Guangdong, di mana pemandangannya menyerupai Hong Kong pada 1970-an dan 1980-an. Media bahasa Kantonis juga disiarkan dalam saluran televisyen Malaysia, terutamanya RTM2 dan 8TV.
Sementara itu, suku Hokkien membentuk suku dialek terbesar di Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor -- terutamanya di Klang dan kawasan pantai Selangor serta Johor barat. Bahasa Hokkien juga ditutur di ibu negeri Sarawak, iaitu Kuching. Kebelakangan ini saluran televisyen Malaysia menampilkan rancangan berbahasa Hokkien dari Taiwan untuk mengimbangkan kandungan dialek-dialek Cina dalam media Malaysia.

Suku Teochew ditumpukan di beberapa bahagian tertentu di Pulau Pinang, kebanyakan pulau-pulau di Sabah dan Johor selatan, terutamanya Johor Bahru dan Pontian.
Maka, secara amnya terdapat tiga kumpulan sub-linguistik orang Cina Malaysia yang selari dengan tiga pusat metropolitan. Kumpulan Pulau Pinang dan Melaka kebanyakannay bertutur dalam bahasa Hokkien manakala kumpulan Kuala Lumpur, Seremban dan Ipoh kebanyakannya berbahasa Kantonis dan Hakka. Di selatan semenanjung Malaysia, terutamanya Johor, bahasa Mandarin paling banyak ditutur oleh masyarakat Cina di sana, sebagai kesan daripada pengaruh media berbahasa Mandarin dari Singapura, serta penggunaan bahasa Mandarin dalam pendidikan formal. Ini telah menyebabkan ramai orang, terutama generasi muda, untuk menyisihkan penggunaan dialek-dialek Cina yang lain seperti Teochew dan Kantonis. Di Malaysia Timur pula, bahasa Hakka and Mandarin laris ditutur, kecuali Sibu yang cenderung kepada bahasa Foochow serta Sandakan dengan bahasa Kantonis.
Pergerakan terkini untuk menyatukan dan menyusun masyarakat-masyarakat Cina Malaysia, Singapura dan Indonesia memperkenalkan Bahasa Mandarin Baku sebagai bahasa nasionalisme etnik diaspora.

No comments:

Post a Comment