Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.
Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu. Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.
Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.
Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.
No comments:
Post a Comment